Jumaat, 30 Oktober 2009

Paskal kini dikenali KD Panglima Hitam




Pengiktirafan tertinggi untuk pasukan yang banyak berjasa menjaga kedaulatan perairan negara

PANGLIMA Hitam adalah gelaran dianugerahkan kepada pahlawan atau pendekar Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan ilmu batin yang tinggi, handal dalam strategi dan muslihat pertempuran serta bermain senjata, digeruni lawan, kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Sultan dan kerajaan.
Mengambil ‘roh’ itu, nama Panglima Hitam diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam.
Pemilihan nama diilham dan diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, bertepatan dengan ciri dimiliki Paskal, iaitu pasukan elit berkemahiran tinggi dalam medan pertempuran maritim dan menjadi aset kepada TLDM dan negara.
Majlis bersejarah penamaan dan pentauliahan Paskal sebagai KD Panglima Hitam disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 15 April lalu.
Beliau menyampaikan watikah tauliah berkenaan kepada Pegawai Memerintah KD Panglima Hitam, Kapten Abd Malek Mohd Daud.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Nordin dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Dengan pentauliahan itu, Markas Paskal kini dikenali dengan nama KD Panglima Hitam.
Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah menunjukkan setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar dengan nama itu.
Antara yang terkenal ialah Panglima Hitam (Taiping) atau namanya Daeng Kuning yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke-18, Panglima Hitam (Kuala Selangor), Panglima Hitam (Jugra), Panglima Hitam (Muar, Johor) dan Panglima Hitam (Segamat, Johor).
Dalam sejarah Selangor, setiap Sultan yang memerintah mempunyai seorang panglima handal dan sangat setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri baginda, istana dan kerajaan.
Sejarah penubuhan Paskal pula bermula di Pangkalan TLDM Woodland, Singapura yang dikenali sebagai Rejimen Keselamatan. Kumpulan pertama rejimen ini dihantar menjalani latihan di Surabaya, Indonesia pada 1977.
Sekembalinya mereka, anggota ini dikenali sebagai Komando TLDM. Mereka seterusnya dihantar menjalani kursus di Pusat Latihan Peperangan Khas Sungai Udang, Royal Marine Commando United Kingdom dan Basic Underwater Demolition (BUD) SEAL di Amerika Syarikat.
Pada 1981, Markas Paskal berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut dan tahun berikutnya perjawatan Paskal diluluskan.
Paskal secara rasminya ditubuhkan pada 1 Oktober 1982, selaras tuntutan kerajaan memperluaskan kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) kepada 200 batu nautika, sekali gus menzahirkan usaha memperkukuhkan tuntutan ke atas kawasan perairan kepulauan Spratly yang menjadi isu tuntutan bertindih.
Pada 1991, kerajaan Malaysia memberi mandat kepada Paskal sebagai Pasukan Penggempur Lawan Keganasan Maritim sejajar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) N0 18.
Majlis pentauliahan dan penamaan Paskal sebagai KD Panglima Hitam juga amat bermakna kerana TLDM akan meraikan sambutan Jubli Intan atau ulang tahun ke-75 penubuhannya, Isnin ini.
Rombongan media dari ibu negara dibawa khas bagi menyaksikan sendiri acara penamaan dan pentauliahan itu melalui Program Sehari Bersama Media di pangkalan berkenaan.
Majlis itu membabitkan perbarisan terdiri daripada empat platun yang mewakili keupayaan serta bidang tugas Paskal, diketuai Komander Ahmad Nazri Abu Hassan.
Platun itu adalah Platun Alfa iaitu platun Tim Antikeganasan Maritim Paskal yang bertanggungjawab dalam operasi menyelamat di kapal dagang dan pelantar minyak milik negara. Mereka dilengkapi sistem perlindungan individu bagi pertempuran jarak dekat.
Platun Bravo membentuk platun kedua yang terdiri Tim Perenang Tempur Oksigen dan Tim Operasi Udara Khas Paskal. Selain mahir dalam taktik penyusupan ke kawasan musuh secara senyap, mereka turut dilatih bagi melaksanakan dan mengumpul data perisikan bagi membantu Tim Gempur.
Platun Charlie pula terdiri Tim Bantuan Paskal yang berperanan memperkasa keupayaan operasi khas Paskal dari barisan belakang, manakala Platun Delta terdiri Tim Peperangan Konvensional yang mendominasi peperangan amfibia Paskal dengan kemahiran gerakan khas di daratan dan penembakan tepat.
Tim ini juga terbabit dalam pelbagai operasi di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk yang terkini berkhidmat di Lubnan.
Keupayaan dan aset Paskal dipertontonkan melalui demonstrasi yang menyingkap arus pembangunan dan transformasi Paskal dari awal penubuhan pasukan elit disegani itu meliputi era 80-an, 90-an sehingga sekarang.
Pada era awal Paskal, pelbagai peralatan dicipta sendiri bagi memenuhi keperluan tugas harian, latihan dan operasi, antaranya penyelam tempur Paskal hanya menggunakan alat selam terbuka `USD Single Set’ dan buluh untuk melaksanakan tugas dan operasi.
Selain itu, batang besi dikenali sebagai S.U.G (Sutarji Underwater Gun) hasil cetusan idea Laksamana Pertama (B) Dr Sutarji Kasmin selaku Pegawai Memerintah ketika itu, turut ditonjolkan. Beberapa inovasi tradisional lain yang dipraktikkan, termasuklah karung guni basah bagi mengurangkan bunyi.
Era 90-an menyaksikan Paskal memasuki ruang lebih yakin untuk muncul setanding dengan pasukan khas luar negara apabila pakaian dan peralatan menyelam diperkemaskan dengan pemakaian `dive liner suit’, yang disesuaikan dengan keadaan cuaca panas serta perolehan alat selam litar tertutup dalam inventori pasukan.
Sesuai dengan pengiktirafan diberikan kepada Paskal, pasukan itu turut menampilkan peralatan selam tempur di alaf baru iaitu peralatan selam litar separa tertutup sebagai persiapan pengoperasian kapal selam yang bakal tiba pada 25 Julai ini.
Selain kelengkapan kemahiran udara, pakaian dan peralatan tempur jarak dekat turut ditonjolkan dan paling mencuri tumpuan adalah pemakaian kelengkapan semasa pasukan itu yang menuju ke era askar masa depan.
Dari segi persenjataan, Paskal menjadi pasukan perintis senjata pistol Glock 17 yang kini diguna secara meluas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada majlis sama, Abdul Aziz dianugerahkan Beret Kehormat Paskal iaitu orang pertama menerimanya sesudah unit itu ditauliahkan sebagai menghargai sumbangannya meliputi keseluruhan aspek operasi, latihan dan pembangunan Paskal.
Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, pentauliahan itu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah pengiktirafan tertinggi kepada Paskal yang sudah menabur banyak jasa dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

“Panglima Hitam seorang pendekar yang sangat handal dalam permainan senjata, bijak dalam strategi peperangan, memiliki ilmu kebatinan dan darjah taat setia yang tinggi, sesuai dengan ciri ditunjukkan anggota Paskal yang dilatih khas dengan ilmu peperangan yang tinggi dan menjadi benteng kepada kedaulatan perairan negara,” katanya.
Abdul Aziz berkata, KD Panglima Hitam juga akan dianugerahkan Panji-Panji Pasukan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-75 di Lumut, Isnin ini.

Triatlon Terbuka ATM jana ahli sukan berwibawa





TRIATLON Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2009 berlangsung dengan jayanya di kawasan peranginan Pantai Puteri, Melaka, baru-baru ini, apabila menarik penyertaan seramai 150 peserta daripada pelbagai peringkat atlit lasak negara termasuk orang awam dan warga pasukan keselamatan itu.

Program yang membabitkan tiga disiplin sukan iaitu berlari, berbasikal dan berenang itu, kali ini memberi penghormatan kepada Rejimen 21 Komando Grup Gerak Khas (GGK) Sungai Udang yang berpangkalan di Melaka sebagai penganjur.

Pada kejohanan kali ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan berdasarkan peringkat usia. Bagi kategori pertama ia membabitkan usia 16 hingga 29 tahun, manakala kedua, 30 hingga 39 tahun, 40 tahun ke atas atau veteran (kategori ketiga) dan lari berganti-ganti lelaki (kategori keempat).

Jarak bagi acara berlari adalah sejauh 10 kilometer, manakala berbasikal sepanjang 40 kilometer dan 1.5 kilometer bagi berenang. Jarak bagi ketiga-tiga disiplin sukan yang dipertandingkan adalah sama bagi keempat-empat kategori.

Pada akhir saingan yang mendapat perhatian ramai penduduk Melaka, khususnya di sekitar Pantai Puteri, Pantai Kundor, Tanjung Keling dan Sungai Udang itu, empat termasuk tiga individu dinobatkan sebagai juara selepas masing-masing berjaya mencatatkan masa terbaik.

Bagi kategori lelaki 16 hingga 29 tahun, ia dimenangi seorang peniaga dari Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zafrullah Mohd Noor. Beliau yang berusia 23 tahun mencatatkan 2 jam 23 minit 23 saat untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, pingat dan sijil.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi peserta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Heidilee Mohammad dan wakil ATM, Sanggap anak Richard di tempat ketiga. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan RM750.

Pemenang tempat keempat bagi kategori ini menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, manakala kelima RM300, keenam (RM200) dan ketujuh hingga ke-10 masing-masing menerima RM100.

Bagi kategori lelaki berusia 30 hingga 39 tahun, duatlon terbaik negara, Shahrom Abdullah muncul juara menewaskan kira-kira 30 peserta dengan catatan 2 jam 22 minit 59 saat, manakala wakil ATM, Koperal Kohing Antak, kedua, dan ketiga, Jusery Gani.

Jumlah hadiah diterima adalah sama dengan kategori usia 16 hingga 29 tahun.

Bagi kategori veteran iaitu lelaki 40 tahun ke atas, peserta dari Thailand, Niphon muncul juara dengan catatan masa 2 jam 39 minit 17 saat, meninggalkan rakan senegaranya, Charoen di tempat kedua David Spence dari Great Britain di tempat ketiga.

Juara bagi kategori ini membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta pingat dan sijil, manakala kedua sebanyak RM700 dan ketiga (RM500). Selain itu, peserta yang menduduki tangga keempat menerima hadiah wang tunai RM200, manakala peserta kelima hingga ke-10 masing-masing RM100.

Kategori lelaki lari berganti-ganti pula, dikuasai pasukan ATM 01 selepas menewaskan wakil Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 1 dan 2 yang terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua dan ketiga, menerusi catatan masa 2 jam 11 minit 32 saat.

Johan bagi kategori ini membawa pulang wang tunai RM1,500 pingat dan sijil manakala kedua dan ketiga, masing-masing RM1,000 dan RM500.

Pemenang bagi kategori usia 16 hingga 29 tahun, Mohd Zafrullah ketika ditemui, berkata sukan lasak terutama acara triatlon memang menjadi kegemarannya sejak menuntut di universiti, selain pernah muncul antara lima peserta terbaik dalam satu kejohanan triatlon anjuran sebuah universiti beberapa tahun lalu.

"Sejak menamatkan pengajian, saya kurang aktif tetapi dengan kejohanan anjuran ATM ini, saya mengambil peluang untuk mencuba nasib dan tidak menyangka mampu menjuarainya biarpun berdepan dengan anggota komando yang sememangnya terkenal dengan ketangkasan dan kelasakan masing-masing," katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Panglima 21 Gerak Khas Gerup, Jeneral Datuk Awie Suboh yang mewakili Yang Dipertua Majlis Sukan Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin. Hadir sama, Pengerusi Sukan Lasak ATM, Lt Kol Ghazali Abu.

Dalam ucapannya pada majlis itu yang dibacakan Awie, Muhammad Ismail berkata, triathlon adalah sukan yang mencabar tahap ketahanan fizikal dan mental peserta, sekali gus memberi gambaran sebenar bahawa peserta kejohanan kali ini adalah terbaik di kalangan terbaik.

Beliau yakin kejohanan itu akan dapat dijadikan landasan untuk melahirkan bakat baru berpotensi, seterusnya memberi peluang mewakili ATM dan negara ke peringkat kejohanan lebih besar pada masa depan.

"Saya percaya kejohanan ini akan membantu melahirkan ahli sukan tempatan yang berwibawa, berkebolehan, berjiwa sukan dan sekali gus menaikkan tahap kesukanan di negara ini.

"Selain menonjolkan bakat baru dalam sukan ini, penganjuran kejohanan ini juga secara tidak langsung dapat menarik peminat sukan serta pelancong khususnya yang datang dari luar negara untuk menyaksikan kejohanan seumpama ini," katanya.

PGK setaraf penyelamat antarabangsa



Anggota 69 Komando, Unit Tindakan Khas perkasakan khidmat PDRM

SEBUT saja Komando, pasti ramai antara kita terbayang wajah yang bengis, tubuh yang tegap, sasa dan pastinya, kehebatan mereka menggempur menangani segala ancaman yang menggugat ketenteraman negara.

Komando pada anggapan ramai, pasukan atau individu yang lebih hebat daripada anggota keselamatan lain dan sanggup menerima apa juga risiko demi kedaulatan negara.



Hakikatnya, anggapan dan andaian itu adalah satu kenyataan. Pada dasarnya, setiap anggota terlatih dalam pasukan itu harus mampu melaksanakan suatu tugas bersendirian walaupun tugas itu boleh dilakukan antara lima hingga 10 anggota biasa.

Latihan bersifat 'keras' adalah antara sebab anggota 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih hebat berbanding anggota lain.

Setiap anggota harus menjalani latihan secara intensif selama beberapa bulan melalui beberapa fasa seperti peningkatan tahap fizikal iaitu berlari dan berenang, 'drown proofing', asas infantri dan pensenjataan, peringkat hutan yang merangkumi pelbagai latihan muslihat dan ikhtiar hidup di hutan. Peringkat selanjutnya, latihan menjurus kepada kebolehan dan kepakaran dalam air, termasuk 'swamp survival' yang mencabar serta memerlukan kekuatan fizikal dan mental tinggi.

Tidak ketinggalan anggota pasukan berkenaan juga perlu menghadapi cabaran dan mengatasi ketakutan pada ketinggian kerana tugas bertempur serta menyelamat bukan semata-mata di darat atau air, malah di udara.

Malah, pasukan 69 Komando yang selesai menjalani ujian kelasakan di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Ipoh, baru-baru ini, turut membuktikan mereka mampu menghadapi musuh dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah serangan, termasuk di udara dan darat.

Pegawai Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando, Asisten Superintendan Hakemal Hawari berkata, antara kaedah yang digunakan ialah penyusupan zon musuh melalui kaedah penerjunan payung terjun yang dilakukan secara taktikal bagi membuktikan mereka mampu menangani situasi mencemaskan dalam menggempur musuh dan menyelamatkan mangsa.
"Dalam situasi sebenar, penerjunan patrol dilakukan pada ketinggian lebih dari 7,500 meter dan jauh dari lokasi sasaran sehingga 22 'map square', dalam keadaan angin di bawah tujuh knot bagi mengelak pergerakan mereka dikesan musuh.

"Lazimnya, penerjunan seumpama itu dilakukan pada waktu malam atau Subuh dengan penilaian 'pathfinder'. Pada waktu itu, 'trooper' juga berdepan dengan risiko tinggi berikutan sebarang kemungkinan akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, penerjunan yang dibuat menggunakan payung terjun kanopi berkonstan tinggi dengan dua teknik dalam penerjunan taktikal iaitu 'Halo' atau High Altitude Low Opening dan 'Haho' (High Altitude High Opening).

"Dalam teknik berkenaan, penerjun akan menggunakan kompas atau GPS bagi membantu mereka dalam pencarian ketika mengendalikan payung ke arah sasaran. Ia berikutan jarak antara penerjun jauh dengan lokasi sasaran sehingga melebihi 30 kilometer.

"Selain itu, kekuatan sebuah pasukan penerjun juga dapat dilihat dengan gerakan secara 'formasi stack' ketika berada di ruang udara ketika menuju sasaran. Kebiasaannya penerjun yang paling bawah bertindak sebagai pemandu arah kepada penerjun lain," katanya.

Hakemal berkata, operasi seumpama itu banyak dipraktikkan dalam sejarah peperangan moden seperti Peperangan Falklands (1982), yang membabitkan tentera British menyusup masuk ke Kepulauan Falkland, United Kingdom dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1963).

"Justeru, melalui peningkatan dan perkongsian pelbagai teknik pertempuran termasuk penerjunan udara mampu menjadikan unit PGK PDRM setanding dengan pasukan penyelamat antarabangsa yang lain," katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga menegaskan, PGK yang terdiri daripada 69 Komando dan Unit Tindakan Khas adalah pasukan penting dalam PDRM.

Ismail berkata, polis sudah menyediakan landasan sesuai dengan menggabungkan kekuatan PGK yang terdiri daripada anggota lama dan baru dalam usaha memperkasakan perkhidmatan PDRM.

"PDRM sudah memenuhi keperluan logistik, menambah kekuatan anggota, memilih pelatih dan anggota berkeperibadian tinggi serta berpengalaman untuk menganggotai PGK.

"Setiap anggota dalam PGK memainkan peranan penting untuk memastikan keamanan serta ketenteraman dalam negara," katanya.

Info:

Teknik penerjunan 'Halo'



Terjunan pada paras ketinggian melebihi 7,500 meter.


Penerjun melakukan pergerakan jatuh bebas ke paras 900 meter sebelum membuka payung.

Teknik 'Haho'


Terjunan melebihi paras 7,500 meter dan payung dibuka selepas 10 hingga 15 saat selepas penerjunan.


Unit Payung Terjun 69 Komando bermula pada 1978.


Kemahiran Payung Terjun adalah kemahiran wajib bagi setiap trooper 69 Komando.

Jumaat, 9 Oktober 2009

PM Dianugerah Beret Hijau Kehormat

MELAKA 5 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini dikurniakan anugerah Beret Hijau Kehormat oleh Rejimen Gerak Khas yang merupakan anugerah tertinggi komando untuk wira negara.

Penganugerahan itu diberikan kepada Perdana Menteri sebagai tanda menghargai ketokohan, kewibawaan dan kecemerlangan beliau sepanjang memimpin negara dengan memiliki semangat waja dan kecekalan diri yang tidak pernah menyerah kalah.

Anugerah kepada Dr. Mahathir disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Md. Hashim Hussein pada majlis Perhimpunan Perdana Warga Gerak Khas 2001 yang julung kali diadakan di Markas 21 Grup Gerak Khas di Kem Sungai Udang dekat sini, hari ini.

Selain Perdana Menteri, seramai 17 anggota Gerak Khas turut menerima sijil penghargaan negara iaitu bekas-bekas Pengerusi Rejimen Gerak Khas iaitu Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad, Mejor Jeneral (B) Datuk Harun Taib dan Allahyarham Brig. Jeneral. Datuk Hasbullah Mohd. Yusof.

Turut menerima sijil penghargaan ialah Mej. Jen. (B) Datuk Mohd. Ramli Ismail, Mej. Jen. (B) Datuk Paduka Ghazali Ibrahim dan Brig. Jen. (B) Datuk Pahlawan Daud Ariffin.

Lain-lainnya ialah Truper Rasali Buang, Lans Koperal Saimon Tarikat, Lt. Kolonel Ahmad Abdul Rashid, Sarjan (B) Zaki Nordin dan Koperal Ismail Ahmad di mana mereka sudah meninggal dunia semasa bertugas.

Dr. Mahathir menganugerahkan Sijil Penghargaan Kerajaan Malaysia kepada 17 anggota terbabit.

Beret Hijau iaitu satu anugerah tertinggi yang melambangkan keagungan, keperwiraan dan mutu keberanian yang tinggi kepada setiap pemakainya.

Rejimen itu diiktiraf keunggulannya oleh dunia dan wira yang memakainya perlu mempertahankan martabatnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Najib Razak; Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam; Timbalan Menteri Pertahanan dan Datuk Shafie Apdal.

Peralatan khusus




Sebagai pasukan yang paling profesional, pasukan elit mempunyai pelbagai peralatan khusus bagi memastikan setiap operasi khas dijalankan dengan sempurna. Perbelanjaan yang amat tinggi juga diperlukan kerana pasukan ini memerlukan peralatan yang jauh lebih moden daripada peralatan biasa. Peralatan khusus ini meliputi aspek persenjataan dan peralatan khas yang lain. Bagi persenjataan, dibawah terdapat sistem persenjataan ringan yang digunakan oleh pasukan ini.

Pistol

Pistol separa automatik Browning Hi-Power yang pernah digunakan oleh SAS British dan pasukan elit seluruh dunia.Pistol separa automatik dan revolver merupakan sistem persenjataan ringan yang amat penting bagi menjalankan operasi-operasi khas pasukan elit dan ia merupakan senjata yang kedua selepas senjata utama pengguna telah kehabisan peluru. Revolver amat jarang digunakan memandangkan penembakannya amat terhad kepada enam butir peluru sahaja jika dibandingkan dengan pistol. Antara pistol yang paling banyak digunakan bagi pasukan elit misalnya di Britain dan Amerika Syarikat ialah sistem Browning High-Power buatan Belgium yang menggunakan tiga jenis kaliber peluru iaitu 9 mm, .40 S&W dan .45 ACP. Sistem ini paling popular kerana pengguna mampu menggunakan teknik double tap shooting (teknik dua tembakan ke sasaran yang sama) dengan cepat dan pantas sungguhpun terdapat sistem tendangan yang amat keras. Majoriti yang menggunakannya adalah SAS Britain dan Australia. Dengan pengenalan produk terbaru daripada Beretta, Glock, Heckler & Koch serta Sig Sauer, penggunaan pistol Browning mula berkurangan serta terdapat khabar mengatakan peralatan ganti bagi sistem ini juga tidak dapat dipasarkan lagi oleh firma tersebut. Namun, penggunaannya masih lagi diteruskan. Pistol Colt M1911 berkaliber .45 ACP buatan Colt Firearms dari Amerika Syarikat mula digunakan pada tahun 1940an oleh Amerika dan Britain serta negara-negara yang berada dibawah jajahan Barat, termasuk Malaysia juga menggunakan sistem ini. Selain Colt dan Browning, pistol Glock dan Heckler & Koch (HK) adalah antara sistem pistol yang kini digunakan secara meluas oleh pasukan-pasukan elit negara luar memandangkan kualiti dan mutu serta kelasakan dan ketepatan menembak dengan pantas. Firma HK telah memasarkan produk pistolnya seperti HK P9S, Universal Selfloading Pistol (USP), Mark 23 .45 ACP (atau HK SOCOM) dan lain-lain bagi kegunaan khas unit-unit tersebut.

Senapang patah

Senapang patah taktikal Remington M870 MCS.Senapang patah atau pump-gun adalah antara salah satu sistem persenjataan utama pasukan elit yang biasanya adalah sistem senjata tempur jarak dekat dan memerlukan daya penembakan yang baik. Selain menggunakan peluru jenis penabor biasa dan penabor kuasa tinggi (Buckshot), senjata ini juga menggunakan peluru penabor tanpa bahaya (nonlethal weapon) jenis Bean Bag yang menggunakan bebola plastik atau getah bagi mencederakan pihak musuh tanpa sebarang kesan sampingan serta peluru jenis Slug bagi memecahkan tombol pintu setiap bangunan atau kapal bagi memudahkan serbuan dijalankan. Selain menggunakan sistem pump action, terdapat juga versi separa automatik turut digunakan. Antara jenis senapang patah yang paling terkenal digunakan ialah Benelli dan Franchi SPAS dari Itali serta Remington dari Amerika Syarikat.

Submesingan

HK MP5A4, submesingan utama pasukan elit.Submesingan atau mesingan kecil adalah sistem persenjataan utama yang paling banyak digunakan selain senapang patah kerana ia paling sesuai digunakan dalam pertempuran jarak dekat yang memerlukan ketepatan menembak jarak dekat yang paling baik. Submesingan MP5 buatan Heckler & Koch adalah sistem mesingan yang paling banyak digunakan secara meluas di seluruh dunia (kecuali Russia) kerana sistem yang asalnya diubahsuai dari raifal G3 ini mempunyai rekod penggunaan yang amat baik dan kini terdapat sistem taktikal bagi MP5 bagi operasi khas seperti MP5-K yang dipendekkan dan MP5SD yang menggunakan sistem tanpa bunyi. Versi MP5-N atau MP5-Navy adalah versi khusus yang banyak digunakan oleh Navy SEAL Amerika yang disadur dengan bahan khas bagi mengelakkan sebarang kerosakkan semasa operasi diperairan.

Rencana utama: Heckler & Koch MP5
Selain MP5, terdapat jenis submesingan yang menggunakan sistem peluru yang mampu menembusi pakaian kalis peluru seperti FN P90 buatan Fabriq Nationale dari Belgium dan MP7 dari HK.

Rencana utama: Heckler & Koch MP7
Raifal Tempur atau Karbin

Tentera elit 10 Para ATM dengan karbin Colt M4A1 yang dilengkapi dengan pejera optik jenis Aimpoint CompM4.Sistem senjata jarak jauh seperti raifal tempur atau karbin merupakan aset persenjataan ringan yang turut disenaraikan dalam inventori senjata utama pasukan elit sekiranya terdapat sesetengah pihak atasan berpendapat penggunaan submesingan atau pump-gun dirasakan kurang sesuai digunakan didalam kawasan pertempuran dalam jarak yang amat terhad misalnya dikawasan hutan dan perkampungan atau menjadi unit penyerang sulit bersama infantri konvensional semasa peperangan. Selain itu, ia juga turut digunakan dalam teknik CQB bersama anggota elit yang menggunakan senjata jarak dekat. Versi-versi raifal tempur yang digunakan oleh pasukan elit adalah seperti raifal AK-47, AK-101 (berkaliber 5.56 mm), Colt M16, HK 33, HK G3, HK G36 Standard, Steyr AUG dan lain-lain. Manakala versi karbin adalah CAR-15, Colt M16 Model 653, Bushmaster M4, Colt M4, HK 416 Commando, HK G36C/K/KE serta HK XM8 Commando.

Peranan


Peranan pasukan elit tidak memerlukan jumlah unit penggempur biasa baik dari jumlah kompeni mahupun batalion dan kelengkapan senjata yang banyak serta tidak memerlukan jangkamasa pertempuran yang amat panjang. Ini kerana pasukan ini menggempur kedudukan musuh mempunyai kekuatan anggota yang ramai dengan menggunakan jumlah keanggotaan yang minima (biasanya menggunakan jumlah seramai 4 hingga 15 anggota) tetapi berupaya menjatuhkan musuh dengan cepat dan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang sesuai dalam operasi. Mereka bertindak memusnahkan kedudukan musuh secara mengejut dengan melalui penyusupan dengan senyap, menyerang dan membunuh musuh dengan kepantasan yang tinggi dan memerlukan semangat kerjasama pasukan yang kuat serta meletupkan kawasan sasaran musuh tanpa bantuan dari unit artileri mahupun serangan udara. Selain tugas pasukan ini dalam menggempur secara terus ke garisan musuh, pasukan elit ini juga dilatih untuk melakukan operasi di belakang garisan musuh (behind enemy lines) secara sulit dan taktikal. Serta turut terlibat dalam operasi menyelamat tebusan dari tangan pengganas atau penjenayah berbahaya dan juga terlibat dalam misi pengaman disamping unit-unit tentera dan polis. Selain itu, pasukan elit juga berperanan mengawal dan menjaga keselamatan ke atas orang-orang kenamaan atau VVIP yang boleh mendatangkan kemungkinan menjadi sasaran oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, misalnya anasir subversif dan sebagainya. Pasukan ini juga menjadi unit pemukul sulit yang bersama dengan pasukan konvensional semasa pertempuran, misalnya pasukan elit dari Amerika iaitu Delta Force dan Navy SEALs serta SAS British yang turut bersama dengan tentera marin Amerika dan Britain dalam pertempuran di Iraq yang menyukarkan musuh mengenali identiti mereka sehingga mereka berjaya menakluki seluruh negara Teluk tersebut

Senjata Tembak Tepat


Senjata penembak tepat atau lebih mudah lagi sniper adalah sistem persenjataan yang digunakan untuk menembak musuh dari jarak jauh yang tidak mampu diserang balas oleh musuh. Senjata tersebut biasanya dilengkapi dengan pejera teleskop yang membolehkan penembak mampu mengenalpasti berapakah jarak yang diperlukan bagi membunuh dari jarak yang amat jauh tanpa disedari oleh musuh serta menjadi penyerang sokongan semasa anggota elit melakukan serbuan dihadapan dan juga tongkat kaki dua atau bipod bagi menyokong senjata tersebut. Selain menggunakan amunisi versi standard (misalnya 5.56mm atau 7.62 mm), terdapat juga versi senjata penembak tepat yang menggunakan amunisi berkaliber tinggi seperti 12.7 mm atau .50 BMG

Grup Gerak Khas

Grup Gerak Khas
Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti pasukan elit utama dalam Malaysia. Ia merupakan sebuah rejimen komando dalam formasi Tentera Darat Malaysia. Penugasan GGK ialah melengkapkan skuadronnya dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui penyusupan jauh ke dalam kawasan operasi melalui hubungan kerjasama dengan pihak gerila atau puak penentang. GGK akan menyusun strategi, persediaan dan apabila diarahkan, serangan susulan akan dilakukan meliputi pertempuran bukan konvensional, pertahanan dalaman, pengintipan khas dan tindakan berterusan melalui sokongan objekif oleh polisi kerajaan di dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan.


Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit negara dalam cabang Tentera Darat Malaysia. Perhatikan karbin Colt M16A1 yang menjadi pilihan tepat unit ini dalam operasi menangani keganasan.GGK yang mendapat latihan khas daripada 40th Royal Marines Commando Britain selepas konfrontasi melibatkan Malaysia-Indonesia ini dilatih meliputi pertempuran bukan konvensional yang merangkumi pelbagai teknik - Taktik Gerila / Anti-Gerila, Taktik Elak dan Lari, Subversif, Sabotaj, Anti Pengganas dan kepakaran yang sudah menjadi lumrah bagi tentera darat - Pertempuran Di dalam Hutan. Unit ini memperolehi reputasi yang paling baik (selain Komando 69 PDRM) dalam operasi memerangi pengganas komunis suatu ketika dahulu. Selepas perletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaysia pada tahun 1989, unit ini dipertingkatkan kemahiran dengan operasi dan pengintipan khas. Bagi menjaga hubungan baiknya dengan negara serumpun berikutan selepas insiden konfrontasi tersebut, Grup Gerak Khas turut mengalu-alukan pasukan sahabatnya iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) - Tentera Darat melalui latihan bersama Grup Gerak Khas dengan pasukan elit Kopassus Indonesia. Dari situ, hubungan baik antara GGK dengan Kopassus bertambah kukuh. Kini, terdapat 3 buah rejimen yang terdiri daripada Rejimen ke-11, 21 dan 22 GGK. Rejimen ke-11 GGK atau Rejimen Lawan Keganasan merupakan sebuah rejimen memerangi keganasan khasnya di kawasan yang memerlukan pertempuran jarak dekat taktikal, misalnya di dalam bangunan, kapal dan pesawat udara. Amat unik sekali, taktikal rejimen ini lebih berpaksikan pasukan elit British iaitu Rejimen 22 Special Air Service (SAS). Ini dapat dibuktikan dari segi kelengkapan baik persenjataan, peralatan mahupun pakaian taktikal rejimen ini kelihatan menyamai pasukan 22 SAS. Rejimen ini dilatih oleh pasukan elit berkenaan pada tahun 1990 selepas perletakkan senjata oleh PKM dan memerlukan pasukan taktikal bagi menangani keganasan yang paling mencabar ini, termasuklah keganasan global. Manakala, rejimen ke-21 dan 22 merupakan rejimen komando dan unit-unit inilah yang menjadi nadi utama semasa insurgensi kedua membanteras komunis.

Grup Gerak Khas turut melibatkan diri dalam misi pengaman antarabangsa di Kemboja, Somalia, Sahara Barat, Namibia dan Bosnia Herzegovina serta kini di Lubnan. Unit ini pernah terlibat dalam beberapa siri operasi di dalam tugas misi pengaman ini. Antara contoh yang paling dikagumi oleh Grup Gerak Khas ini ialah operasi menyelamat 40 orang anggota komando Delta Force dan 75 anggota Renjer tentera darat Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia dengan pasukan tentera Jeneral Mohamed Farrah Aidid. Unit ini turut digandingkan dengan Rejimen ke-19 Askar Melayu Diraja, rejimen ke-10 tentera darat Pakistan dan division ke-10 tentera darat Amerika serta disokong dengan bantuan helikopter tempur Amerika jenis A/MH-6 Little Bird dan MH-60 serta kereta perisai Condor Malaysia dan M48 (Pakistan). Sepertimana warga 19 RAMD kehilangan seorang anggotanya di dalam misi menyelamat itu, warga GGK juga turut kehilangan dua orang anggotanya semasa operasi bersama dengan komando tentera Amerika untuk menangkap orang kanan Farrah Aidid.