Jumaat, 9 Oktober 2009

Grup Gerak Khas

Grup Gerak Khas
Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti pasukan elit utama dalam Malaysia. Ia merupakan sebuah rejimen komando dalam formasi Tentera Darat Malaysia. Penugasan GGK ialah melengkapkan skuadronnya dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui penyusupan jauh ke dalam kawasan operasi melalui hubungan kerjasama dengan pihak gerila atau puak penentang. GGK akan menyusun strategi, persediaan dan apabila diarahkan, serangan susulan akan dilakukan meliputi pertempuran bukan konvensional, pertahanan dalaman, pengintipan khas dan tindakan berterusan melalui sokongan objekif oleh polisi kerajaan di dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan.


Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit negara dalam cabang Tentera Darat Malaysia. Perhatikan karbin Colt M16A1 yang menjadi pilihan tepat unit ini dalam operasi menangani keganasan.GGK yang mendapat latihan khas daripada 40th Royal Marines Commando Britain selepas konfrontasi melibatkan Malaysia-Indonesia ini dilatih meliputi pertempuran bukan konvensional yang merangkumi pelbagai teknik - Taktik Gerila / Anti-Gerila, Taktik Elak dan Lari, Subversif, Sabotaj, Anti Pengganas dan kepakaran yang sudah menjadi lumrah bagi tentera darat - Pertempuran Di dalam Hutan. Unit ini memperolehi reputasi yang paling baik (selain Komando 69 PDRM) dalam operasi memerangi pengganas komunis suatu ketika dahulu. Selepas perletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaysia pada tahun 1989, unit ini dipertingkatkan kemahiran dengan operasi dan pengintipan khas. Bagi menjaga hubungan baiknya dengan negara serumpun berikutan selepas insiden konfrontasi tersebut, Grup Gerak Khas turut mengalu-alukan pasukan sahabatnya iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) - Tentera Darat melalui latihan bersama Grup Gerak Khas dengan pasukan elit Kopassus Indonesia. Dari situ, hubungan baik antara GGK dengan Kopassus bertambah kukuh. Kini, terdapat 3 buah rejimen yang terdiri daripada Rejimen ke-11, 21 dan 22 GGK. Rejimen ke-11 GGK atau Rejimen Lawan Keganasan merupakan sebuah rejimen memerangi keganasan khasnya di kawasan yang memerlukan pertempuran jarak dekat taktikal, misalnya di dalam bangunan, kapal dan pesawat udara. Amat unik sekali, taktikal rejimen ini lebih berpaksikan pasukan elit British iaitu Rejimen 22 Special Air Service (SAS). Ini dapat dibuktikan dari segi kelengkapan baik persenjataan, peralatan mahupun pakaian taktikal rejimen ini kelihatan menyamai pasukan 22 SAS. Rejimen ini dilatih oleh pasukan elit berkenaan pada tahun 1990 selepas perletakkan senjata oleh PKM dan memerlukan pasukan taktikal bagi menangani keganasan yang paling mencabar ini, termasuklah keganasan global. Manakala, rejimen ke-21 dan 22 merupakan rejimen komando dan unit-unit inilah yang menjadi nadi utama semasa insurgensi kedua membanteras komunis.

Grup Gerak Khas turut melibatkan diri dalam misi pengaman antarabangsa di Kemboja, Somalia, Sahara Barat, Namibia dan Bosnia Herzegovina serta kini di Lubnan. Unit ini pernah terlibat dalam beberapa siri operasi di dalam tugas misi pengaman ini. Antara contoh yang paling dikagumi oleh Grup Gerak Khas ini ialah operasi menyelamat 40 orang anggota komando Delta Force dan 75 anggota Renjer tentera darat Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia dengan pasukan tentera Jeneral Mohamed Farrah Aidid. Unit ini turut digandingkan dengan Rejimen ke-19 Askar Melayu Diraja, rejimen ke-10 tentera darat Pakistan dan division ke-10 tentera darat Amerika serta disokong dengan bantuan helikopter tempur Amerika jenis A/MH-6 Little Bird dan MH-60 serta kereta perisai Condor Malaysia dan M48 (Pakistan). Sepertimana warga 19 RAMD kehilangan seorang anggotanya di dalam misi menyelamat itu, warga GGK juga turut kehilangan dua orang anggotanya semasa operasi bersama dengan komando tentera Amerika untuk menangkap orang kanan Farrah Aidid.

1 ulasan:

  1. apakah perbezaan 11RGK dengan 21,22 komando??
    tidak berapa jelas bagi sya

    BalasPadam