TRIATLON Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2009 berlangsung dengan jayanya di kawasan peranginan Pantai Puteri, Melaka, baru-baru ini, apabila menarik penyertaan seramai 150 peserta daripada pelbagai peringkat atlit lasak negara termasuk orang awam dan warga pasukan keselamatan itu.
Program yang membabitkan tiga disiplin sukan iaitu berlari, berbasikal dan berenang itu, kali ini memberi penghormatan kepada Rejimen 21 Komando Grup Gerak Khas (GGK) Sungai Udang yang berpangkalan di Melaka sebagai penganjur.
Pada kejohanan kali ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan berdasarkan peringkat usia. Bagi kategori pertama ia membabitkan usia 16 hingga 29 tahun, manakala kedua, 30 hingga 39 tahun, 40 tahun ke atas atau veteran (kategori ketiga) dan lari berganti-ganti lelaki (kategori keempat).
Jarak bagi acara berlari adalah sejauh 10 kilometer, manakala berbasikal sepanjang 40 kilometer dan 1.5 kilometer bagi berenang. Jarak bagi ketiga-tiga disiplin sukan yang dipertandingkan adalah sama bagi keempat-empat kategori.
Pada akhir saingan yang mendapat perhatian ramai penduduk Melaka, khususnya di sekitar Pantai Puteri, Pantai Kundor, Tanjung Keling dan Sungai Udang itu, empat termasuk tiga individu dinobatkan sebagai juara selepas masing-masing berjaya mencatatkan masa terbaik.
Bagi kategori lelaki 16 hingga 29 tahun, ia dimenangi seorang peniaga dari Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zafrullah Mohd Noor. Beliau yang berusia 23 tahun mencatatkan 2 jam 23 minit 23 saat untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, pingat dan sijil.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi peserta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Heidilee Mohammad dan wakil ATM, Sanggap anak Richard di tempat ketiga. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan RM750.
Pemenang tempat keempat bagi kategori ini menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, manakala kelima RM300, keenam (RM200) dan ketujuh hingga ke-10 masing-masing menerima RM100.
Bagi kategori lelaki berusia 30 hingga 39 tahun, duatlon terbaik negara, Shahrom Abdullah muncul juara menewaskan kira-kira 30 peserta dengan catatan 2 jam 22 minit 59 saat, manakala wakil ATM, Koperal Kohing Antak, kedua, dan ketiga, Jusery Gani.
Jumlah hadiah diterima adalah sama dengan kategori usia 16 hingga 29 tahun.
Bagi kategori veteran iaitu lelaki 40 tahun ke atas, peserta dari Thailand, Niphon muncul juara dengan catatan masa 2 jam 39 minit 17 saat, meninggalkan rakan senegaranya, Charoen di tempat kedua David Spence dari Great Britain di tempat ketiga.
Juara bagi kategori ini membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta pingat dan sijil, manakala kedua sebanyak RM700 dan ketiga (RM500). Selain itu, peserta yang menduduki tangga keempat menerima hadiah wang tunai RM200, manakala peserta kelima hingga ke-10 masing-masing RM100.
Kategori lelaki lari berganti-ganti pula, dikuasai pasukan ATM 01 selepas menewaskan wakil Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 1 dan 2 yang terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua dan ketiga, menerusi catatan masa 2 jam 11 minit 32 saat.
Johan bagi kategori ini membawa pulang wang tunai RM1,500 pingat dan sijil manakala kedua dan ketiga, masing-masing RM1,000 dan RM500.
Pemenang bagi kategori usia 16 hingga 29 tahun, Mohd Zafrullah ketika ditemui, berkata sukan lasak terutama acara triatlon memang menjadi kegemarannya sejak menuntut di universiti, selain pernah muncul antara lima peserta terbaik dalam satu kejohanan triatlon anjuran sebuah universiti beberapa tahun lalu.
"Sejak menamatkan pengajian, saya kurang aktif tetapi dengan kejohanan anjuran ATM ini, saya mengambil peluang untuk mencuba nasib dan tidak menyangka mampu menjuarainya biarpun berdepan dengan anggota komando yang sememangnya terkenal dengan ketangkasan dan kelasakan masing-masing," katanya.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Panglima 21 Gerak Khas Gerup, Jeneral Datuk Awie Suboh yang mewakili Yang Dipertua Majlis Sukan Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin. Hadir sama, Pengerusi Sukan Lasak ATM, Lt Kol Ghazali Abu.
Dalam ucapannya pada majlis itu yang dibacakan Awie, Muhammad Ismail berkata, triathlon adalah sukan yang mencabar tahap ketahanan fizikal dan mental peserta, sekali gus memberi gambaran sebenar bahawa peserta kejohanan kali ini adalah terbaik di kalangan terbaik.
Beliau yakin kejohanan itu akan dapat dijadikan landasan untuk melahirkan bakat baru berpotensi, seterusnya memberi peluang mewakili ATM dan negara ke peringkat kejohanan lebih besar pada masa depan.
"Saya percaya kejohanan ini akan membantu melahirkan ahli sukan tempatan yang berwibawa, berkebolehan, berjiwa sukan dan sekali gus menaikkan tahap kesukanan di negara ini.
"Selain menonjolkan bakat baru dalam sukan ini, penganjuran kejohanan ini juga secara tidak langsung dapat menarik peminat sukan serta pelancong khususnya yang datang dari luar negara untuk menyaksikan kejohanan seumpama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan