Jumaat, 30 Oktober 2009

PGK setaraf penyelamat antarabangsa



Anggota 69 Komando, Unit Tindakan Khas perkasakan khidmat PDRM

SEBUT saja Komando, pasti ramai antara kita terbayang wajah yang bengis, tubuh yang tegap, sasa dan pastinya, kehebatan mereka menggempur menangani segala ancaman yang menggugat ketenteraman negara.

Komando pada anggapan ramai, pasukan atau individu yang lebih hebat daripada anggota keselamatan lain dan sanggup menerima apa juga risiko demi kedaulatan negara.



Hakikatnya, anggapan dan andaian itu adalah satu kenyataan. Pada dasarnya, setiap anggota terlatih dalam pasukan itu harus mampu melaksanakan suatu tugas bersendirian walaupun tugas itu boleh dilakukan antara lima hingga 10 anggota biasa.

Latihan bersifat 'keras' adalah antara sebab anggota 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih hebat berbanding anggota lain.

Setiap anggota harus menjalani latihan secara intensif selama beberapa bulan melalui beberapa fasa seperti peningkatan tahap fizikal iaitu berlari dan berenang, 'drown proofing', asas infantri dan pensenjataan, peringkat hutan yang merangkumi pelbagai latihan muslihat dan ikhtiar hidup di hutan. Peringkat selanjutnya, latihan menjurus kepada kebolehan dan kepakaran dalam air, termasuk 'swamp survival' yang mencabar serta memerlukan kekuatan fizikal dan mental tinggi.

Tidak ketinggalan anggota pasukan berkenaan juga perlu menghadapi cabaran dan mengatasi ketakutan pada ketinggian kerana tugas bertempur serta menyelamat bukan semata-mata di darat atau air, malah di udara.

Malah, pasukan 69 Komando yang selesai menjalani ujian kelasakan di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Ipoh, baru-baru ini, turut membuktikan mereka mampu menghadapi musuh dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah serangan, termasuk di udara dan darat.

Pegawai Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando, Asisten Superintendan Hakemal Hawari berkata, antara kaedah yang digunakan ialah penyusupan zon musuh melalui kaedah penerjunan payung terjun yang dilakukan secara taktikal bagi membuktikan mereka mampu menangani situasi mencemaskan dalam menggempur musuh dan menyelamatkan mangsa.
"Dalam situasi sebenar, penerjunan patrol dilakukan pada ketinggian lebih dari 7,500 meter dan jauh dari lokasi sasaran sehingga 22 'map square', dalam keadaan angin di bawah tujuh knot bagi mengelak pergerakan mereka dikesan musuh.

"Lazimnya, penerjunan seumpama itu dilakukan pada waktu malam atau Subuh dengan penilaian 'pathfinder'. Pada waktu itu, 'trooper' juga berdepan dengan risiko tinggi berikutan sebarang kemungkinan akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, penerjunan yang dibuat menggunakan payung terjun kanopi berkonstan tinggi dengan dua teknik dalam penerjunan taktikal iaitu 'Halo' atau High Altitude Low Opening dan 'Haho' (High Altitude High Opening).

"Dalam teknik berkenaan, penerjun akan menggunakan kompas atau GPS bagi membantu mereka dalam pencarian ketika mengendalikan payung ke arah sasaran. Ia berikutan jarak antara penerjun jauh dengan lokasi sasaran sehingga melebihi 30 kilometer.

"Selain itu, kekuatan sebuah pasukan penerjun juga dapat dilihat dengan gerakan secara 'formasi stack' ketika berada di ruang udara ketika menuju sasaran. Kebiasaannya penerjun yang paling bawah bertindak sebagai pemandu arah kepada penerjun lain," katanya.

Hakemal berkata, operasi seumpama itu banyak dipraktikkan dalam sejarah peperangan moden seperti Peperangan Falklands (1982), yang membabitkan tentera British menyusup masuk ke Kepulauan Falkland, United Kingdom dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1963).

"Justeru, melalui peningkatan dan perkongsian pelbagai teknik pertempuran termasuk penerjunan udara mampu menjadikan unit PGK PDRM setanding dengan pasukan penyelamat antarabangsa yang lain," katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga menegaskan, PGK yang terdiri daripada 69 Komando dan Unit Tindakan Khas adalah pasukan penting dalam PDRM.

Ismail berkata, polis sudah menyediakan landasan sesuai dengan menggabungkan kekuatan PGK yang terdiri daripada anggota lama dan baru dalam usaha memperkasakan perkhidmatan PDRM.

"PDRM sudah memenuhi keperluan logistik, menambah kekuatan anggota, memilih pelatih dan anggota berkeperibadian tinggi serta berpengalaman untuk menganggotai PGK.

"Setiap anggota dalam PGK memainkan peranan penting untuk memastikan keamanan serta ketenteraman dalam negara," katanya.

Info:

Teknik penerjunan 'Halo'



Terjunan pada paras ketinggian melebihi 7,500 meter.


Penerjun melakukan pergerakan jatuh bebas ke paras 900 meter sebelum membuka payung.

Teknik 'Haho'


Terjunan melebihi paras 7,500 meter dan payung dibuka selepas 10 hingga 15 saat selepas penerjunan.


Unit Payung Terjun 69 Komando bermula pada 1978.


Kemahiran Payung Terjun adalah kemahiran wajib bagi setiap trooper 69 Komando.

2 ulasan:

  1. Sesiapa boleh menceritakan bagaimana 18 anggota komando membolos semasa dikepung oleh pengganas komunis semasa Ops Sedar di kawasan Gubir pada April 1976. Saya nak mengkhatamkan tragedi tersebut. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Saya cuma admin di dalam blog nie tuan, mungkin sesiapa yang tahu hal kejadian tersebut boleh lah berkongsi bersama-sama.
    Terima kasih.

    BalasPadam